Kelebihan Surah Ibrahim


Melalui Majalah al-Ustaz, edisi 54, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman berkongsi tentang keistimewaan Surah Ibrahim melalui slot Explorasi Ibrah.

Kelebihan Surah Ibrahim

- Pengenalan surah Makkiyyah
Surah ini memperkenalkan surah Makiyyah yang memenuhi hampir dua pertiga al-Quran. Melalui surah ke-14 ini, kita akan lihat kedegilan paling ekstrem Musyrikin Quraisy sekitar tahun ke-10 kenabian ketika surah ini diturunkan. Surah Makiyyah dirumuskan kepada 3 agenda utama:
  • Kembali menyembah Allah dan menjauhi syirik.
  • Kembali mengikut para Rasul dan jangan cipta 'agama' sendiri.
  • Percaya pada hari akhirat dengan merenung kejadian alam.
- Rumusan agenda perjuangan & dakwah Nabi Musa
Surah ini merumuskan lebih 20 hingga 30 tahun agenda perjuangan Nabi Musa menentang Firaun dan agenda mendidik Bani Israel dari detik kembali ke Mesir hingga sebelum kewafatannya.

Ayat 5 hingga 8 tahun merumuskan kesabaran baginda mendidik Bani Israel agar sentiasa bersyukur kepada Allah, berhenti mengeluh, dan meminta yang bukan-bukan ketika Allah menghadiahi pelbagai kelebihan melalui tongkat Musa.

Surah ini merakamkan pesan Musa kepada Bani Israel agar menghargai anugerah 'hari-hari Allah' iaitu, hari mereka diberikan kemenangan ke atas rejim Firaun di Laut Merah. Juga hari mereka berjanji kepada Allah untuk tidak kembali mengulangi tragedi menyembah berhala Samiri. Namun sikap kufur Bani Israel menjadi asbab Ibrahim diilhamkan Allah agar 'meletakkan benih' baginda di Tanah Suci Makkah dan bukan lagi di Palestin. Kebetulan, babak Ibrahim itu dirakamkan di penghujung surah ini selepas permulaanya mengenai karenah Bani Israel.

- Rumusan agenda perjuangan para rasul
Surah yang merumuskan agenda perjuangan 313 orang rasul. Bersesuaian dengan nama surah, membabitkan seorang 'ayah' kepada majoriti para Rasul iaitu Bani Israel. Lebih menarik, Allah merakamkan semula 'suara' para rasul berkenaan dengan satu suara sahaja. Bahasa Arab dipilih Allah sebagai bahasa terbaik untuk meringkaskan dengan tepat dan padat kesemua bahasa di dunia sejak zaman manusia pertama di atas muka bumi ini. Ayat 9-15 dipilih menjadi pedoman penting untuk mendalami ilmu sejarah perjalanan dunia.

- Definisi kafir
Surah yang mendefinisikan siapa itu Kafir. Kita mungkin ekstrem jika menganggap yang bukan Muslim itu kafir. Perhatikan ayat ke-3 surah ini, surah ini menegaskan betapa kafir adalah istilah khusus diberikan Allah kepada mereka yang bukan sudah tenggelam dalam arus keduniaan, bahkan mengganggu hak orang lain mendengar penjelasan tentang Islam. Mereka berusaha sedaya upaya menghalang dengan apa jua cara agar orang lain menjauhi Islam.

- Rakaman ucapan Iblis di Mahsyar
Surah yang merakamkan ucapan Iblis paling panjang di Mahsyar. Rumusan konspirasi yang dibuat untuk manusia selama ini. Kita akan dapati banyak ucapan iblis dalam al-Quran khususnya ketika tidak sujud kepada Adam. Namun pada ayat ke-22 surah ini merakamkan ucapannya yang mengecewakan kaum kafir yang sedang meraba-raba mencari 'syafaat' di sana-sini.

- Gambaran Mahsyar dan neraka yang menggerunkan
Surah yang akan menimbulkan kegerunan kepada ayat yang sering kita lafazkan dalam solat,
"مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ", kerana terlalu banyak ayat-ayat memperincikan panorama menggerunkan di Mahsyar dan neraka. Contohnya pada ayat ke-17.


- Didikan tauhidic worldview
Surah ini mengandungi sudut pandang tauhid khususnya buat mereka yang mengerti kalimah itu dalam bahasa arab. Misalnya pada ayat 1, ia akan mengubah cara kita memandang 'cahaya dan kegelapan'. Serta banyak lagi.

- Doa Nabi Ibrahim
Surah ini mengandungi doa yang dimustajabkan Allah agar dianugerahkan anak-anak yang soleh dan memelihara solat.

Gambar: https://ayat2hafalanku.wordpress.com
Surah ini tidak membentangkan perjuangan Nabi Ibrahim yang dirakamkan dalam pelbagai surah. Ia hanya satu babak kedatangannya kali ketiga ke Tanah Suci Makkah selepas peristiwa pengorbanan anakandanya Ismail dan selepas dikurniakan anak Ishak di Palestin.

Kajilah tujuh ayat doa baginda Ibrahim yang dirakamkan sebagai doa baginda paling panjang dalam al-Quran yang menjadi sebab Allah menamakan surah ini dengan nama baginda.

Surah ini mengajar kita untuk sentiasa bersyukur, tidak kufur dan jangan lalai sehingga mengabdikan diri kepada 'berhala-berhala' materialistik moden tanpa disedari.

Rujukan lain:
http://www.surah.my/14
http://www.ibnukatsironline.com

0 Response to "Kelebihan Surah Ibrahim"

Posting Komentar

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel